Wednesday 24 August 2011

MARI MUJAHADAH KERANA ALLAH

Dalam surah Adz-Dzariyyat ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud :

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah hanya kepadaKu."

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah yang terbaik. Walaupun Allah telah menjanjikan syurga dan mengurniakan kemuliaan, namun baginda tetap sujud dan memohon ampun kepada Allah. Hadis riwayat Bukhari ada menyatakan, suatu hari Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah;

"Wahai Rasulullah, tuan bersolat begitu lama sekali dan menangis terlalu banyak sedangkan tuan adalah maksum?". Maka baginda menjawab, " Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?".

Betapa hebatnya rasa kehambaan yang ada dalam diri Baginda. Persoalannya, bagaimana pula halnya dengan kita? Sejauh manakah rasa kehambaan yang ada dalam diri kita? Kita sebagai umat akhir zaman ini, terlalu ramai yang sombong. Angkuh mendabik dada berjalan dengan megah tanpa pernah sedar segala kurniaan itu adalah milik Allah. Masih tidak mahu sujud dan terus kufur nikmat sedangkan jika Allah mahu, pada bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh diambil semula. Seharusnya, kita mencontohi akhlak dan teladan Rasulullah atau paling tidak para sahabat baginda yang merupakan hamba-hamba Allah yang terbaik.

"(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya, mereka akan membaca catatan (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun".

( Surah Al-Israa' : 71)

Kesimpulannya, kita harus sentiasa sedar bahawa Allah menciptakan kita bernafas di bumi ini dengan dua peranan yang berbeza. Kita adalah semulia-mulia khalifah dan kita juga adalah serendah-rendah hamba. Lakukan segala sesuatu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Semoga kita menjadi hamba yang terpilih untuk melangkah masuk dan menghuni syurgaNya yang penuh dengan kenikmatan selama-lamanya, insyaAllah

No comments:

Post a Comment